PERUTUSAN PEGAWAI DAERAH MANJUNG
TUAN SHAMSUL RIDZUAN BIN IDRIS
PEGAWAI DAERAH MANJUNG
Selamat datang ke Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, pintu masuk ke daerah Manjung.
Melalui portal ini, saya berharap orang ramai dapat berinteraksi dengan Pejabat Daerah dan mengenali Pejabat Daerah dan Tanah Manjung dengan lebih dekat. Portal ini menghimpunkan halaman-halaman utama dari aspek sosio-ekonomi, pelancongan, pertanian dan perindustrian.
Adalah menjadi harapan saya agar orang ramai memperolehi maklumat yang diperlukan berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab Pejabat Daerah dan Tanah Manjung. Orang ramai sebagai pengguna harus peka dengan pembangunan di daerah sendiri. Kesedaran sedemikian secara tidak langsung dapat membantu anda khasnya penduduk Daerah Manjung menikmati kemudahan pembangunan yang disediakan serta peluang-peluang yang boleh disertai dalam pembangunan sosio-ekonomi Daerah Manjung.
Dengan keluasan kira-kira 1168.9 kilometer persegi, Daerah Manjung adalah daerah yang kedua terkecil di Negeri Perak selepas Daerah Kerian. Sebaliknya dari segi kepesatan kemajuan, daerah ini menduduki tempat ketiga di belakang Bandaraya Ipoh dan Daerah Larut Matang dan Selama. Kemajuan yang dicapai ini adalah hasil usaha gigih kerajaan dan sektor swasta.
Sektor utama ekonomi di Daerah Manjung adalah pertanian, perkhidmatan dan perindustrian. Sektor kecil pelancongan adalah aktiviti yang terserlah di daerah ini dengan Pulau Pangkor dan kawasan di sekitar pekan Lumut merupakan destinasi pelancongan yang utama. Objek pelancongan yang utama di daerah ini ialah keindahan pantai, pulau dan alam semula jadi. Untuk mengalami dan menikmati kemudahan tersebut kunjungilah Daerah Manjung. Maklumat mengenai lokasi dan kemudahan pelancongan disediakan di dalam laman ini.
Manjung mempunyai potensi dan ruang untuk terus berkembang maju dari segi fizikal. Kemudahan infrastruktur seperti pembinaan Jambatan Raja Permaisuri Bainun telah memberi impak yang besar kepada kemajuan daerah ini. Ini ditambah pula dengan projek besar yang dibangunkan oleh sektor swasta seperti Lekir Island Reclamation Project, TNB Power Plant, Segari Energy Venture serta projek-projek besar yang masih dalam perancangan iaitu Teluk Muruh Reclamation Project dan Marine City Resort Development Project yang akan menambahkan lagi kepesatan pembangunannya.